Pages

Saturday 4 June 2011

Kari Ikan jenahak dan kenangan masa lalu..

Abah saya berasal dari utara iaitu negeri Kedah dan menu utama kegemaran dia ialah kari dan kalau kari ikan dia suka ikan bawal dengan ikan kembung. Mak saya pula berasal dari negeri Perak , mak saya cerita masa mula-mula kawin dulu mak saya memang tak tau langsung masak kari jadi dia belajar masak kari dari arwah tok saya. Walaupun masa awal perkahwinan mak saya tak pandai sangat masak kari tapi abah saya sentiasa puji , dia kata kari yang mak saya masak sedap saja.
Bila makin lama mak saya pun semakin mahir masak kari dan dia pasti akan masak menu kari tiap-tiap hari kalau tak abah saya tak begitu berselera makan nasi. Semua jenis kari mak saya tahu masak iaitu masak kari ikan , kari udang campur kacang buncis , kari ketam campur nenas , kari ayam , kari daging , kari telur ayam dan kari ikan talang masin campur nenas .Tiap-tiap hari kami 7 beradik makan nasi berlaukkan kari dan ikan goreng , semenjak saya dari kecil dan sudah boleh mula makan nasi memang kari la favorite menu saya. Mak saya memang pandai masak apa saja menu yang dia masak memang sedap, saya cakap macam ni bukan sebab dia mak saya tapi saudara-mara dan kawan-kawan mak saya sendiri memang puji masakan mak saya sedap terutama menu kari dia.
Saya teringat lagi dulu kadang-kadang mak saya masakla ikan kembung masak lemak kuning , abah saya tak cakap apa-apa tapi dia kurang berselera makan nasi hari tu. Mungkin sebab dah sebati dari kecil sampai sekarang seminggu sekali saya mesti masak kari , suami saya berasal dari Negeri Sembilan pula dan dia kurang makan kari tapi semenjak kawin dengan saya orang Kedah ni dia pun dah belajar pandai makan kari.
Masa saya umur 16 tahun mak saya mula ajar saya macam mana nak masak kari cara orang utara sebab dia dah kurang sihat masa tu. Jadi saya la kadang-kadang take over memasak di rumah. Macam-macam jenis menu masakan serta petua memasak yang mak saya ajar pada saya dan saya pula masa tu dah mula timbul rasa minat memasak. Sampai sekarang saya masih amalkan semua tips dan petua yang mak saya ajar dulu dan for sure saya akan turunkan ilmu memasak ni semua pada anak-anak saya.

BAHAN-BAHAN:
1 kilo ikan jenahak
3 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 tangkai daun kari
1 sudu besar cili kering kisar
1 sudu asam jawa segera
1/2 sudu halba campur
1 peket rempah kari ikan
5 cawan santan pekat
8 biji kacang bendi
Garam secukup rasa
* Bawang merah dan bawang putih dimayang halus

CARA MEMASAK:
Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bawang , halba campur dan daun kari sehingga naik bau. Sentiasa kacau semua bahan supaya layu sekata dan tidak menjadi hangit.


Letakkan rempah kari di dalam mangkuk kecil dan campurkan sedikit air kemudian tumis di dalam periuk kemudian masukkan cili serta asam jawa . Rempah kari mesti sentiasa dikacau supaya tidak menjadi hangit. Biarkan rempah masak dan terbit minyak.


Bila rempah sudah masak boleh la dimasukkan semua santan tadi dan kacau supaya semua bahan menjadi mesra. Biar mendidih sedikit dan boleh la dimasukkan semua ikan jenahak tadi dan garam kemudian kacau dan biarkan seketika sehingga kuah mendidih. Jika kuah terlalu pekat boleh ditambah sedikit air. Rasa garam dan masam kuah supaya sesuai dengan selera.

Bila ikan sudah masak boleh la dimasukkan semua kacang bendi dan kacau supaya semua bahan menjadi mesra dengan kuah kari dan biarkan seketika dan terus tutup api dapur.Tutup periuk dengan tudung periuk supaya kacang bendi terus masak didalam wap panas kuah kari. Saya suka masak kacang bendi begini supaya tidak menjadi terlalu masak dan kacang bendi boleh menjadi lembek.
n3 15.4.09

No comments:

Post a Comment