Pages

Saturday, 23 June 2012

KANGKUNG dari laman

Selamat pagi Sabtu..

Berbudi pada tanah pasti akan mendapat hasil yang buat kita senyum , selain sawi putih saya tanam sayur kangkung dalam pasu . Senang juga nak jaga sayur kangkung ni , semai je biji benih kemudian bagi cukup baja dan siram tiap-tiap pagi dan petang . Cukup sebulan sayur kangkung pun tumbuh sihat dan boleh dikutip hasil tanaman , alhamdulillah seronok nya saya dapat bercucuk tanam walaupun dalam pasu dan di depan halaman rumah yang terhad ruangnya . Saya memang suka bercucuk tanam tak kira apa jenis tanaman sama ada sayur atau pokok-pokok hiasan , terapi minda dan memberi ketenangan untuk diri ni . Sejuk saja mata melihat semua tanaman pokok ros serta sayur-sayuran yang saya tanam mahu hidup subur , syukur alhamdulillah atas nikmat yang TUHAN kurniakan kepada kami sekeluarga...

Sayur kangkung tumis bersama taucho dan ikan bilis .

BAHAN-BAHAN :


2 ikat sayur kangkung
1 peket taucho
segenggam ikan bilis
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih

CARA MEMASAK :

-Bersihkan sayur kangkung dan ambil semua daun serta batang sayur yang lembut sahaja . Tumbuk  semua bawang merah+bawang putih dengan ikan bilis .

-Panaskan minyak secukupnya dalam kuali dan tumis bahan tumbuk sampai naik wangi kemudian masukkan taucho dan sedikit air kemudian kacau semua . Masukkan semua sayur kangkung dan kacau bagi sekata semua bahan . Jika nampak sayur agak kering masukkan sedikit air dan kacau kemudian rasa sayur jika tak masin baru ditambah garam . Bila sayur dah masak boleh la ditutup api dapur . Sayur ni tak perlu ditambah garam sebab dah cukup masin dari taucho dan ikan bilis .

Hasil tanaman ku kali ni sayur kangkung yang hidup subur..


Gembiranya kutip sayur kangkung...


Anak-anak yang paling seronok tolong saya tanam dan jaga sayur-sayuran di depan laman rumah saya ni . Bila nak kutip sayur pun saya biar anak-anak yang buat , pengalaman yang akan anak-anak ingat sampai bila-bila dan saya harap bila anak-anak saya dah dewasa , mereka pun akan suka berkebun...

Friday, 22 June 2012

KARI AYAM n TELUR

Selalu saya akan masak kari ayam sahaja atau kari telur tapi kali ni saya masak semuanya sekali menjadi kari ayam telur bersama ubi kentang . Senang kerja masak saya kali dan kari ni jadi kari 2 dalam 1 masakan hehehe , anak saya yang sulung suka kari ayam sementara anak kedua suka kari telur so sekarang ni anak-anak boleh pilih mana lauk yang nak dimakan dengan nasi , syukur alhamdulillah untuk rezeki kami  . Resepi yang saya beri ni hanya la panduan pada sesiapa yang nak cuba anda boleh ubah suai resepi mengikut selera masing-masing..


BAHAN-BAHAN :

500 grm ayam
6 biji telur ayam
6 biji ubi kentang - potong 4
4 cawan santan pekat - boleh tambah
1 peket rempah kari daging - dibancuh dgn sedikit air
1 sudu cili kisar
3 cm halia
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
1 batang ( 2cm) kulit kayu manis
1 biji bunga cengkih
3 biji bunga lawang
3 biji buah pelaga
Garam secukup rasa

Tak perlu guna cili kisar jika tak mau kari pedas 

CARA MEMASAK :

Bersihkan ayam dan dipotong menjadi ketulan kecil , kupas semua ubi kentang dan dipotong 4 . Rebus semua telur dan kupas kulit serta dikelar-kelar keliling telur itu Kupas semua bawang , halia dan ditumbuk lumat .

Panaskan sedikit minyak anggaran 6 sudu besar dan tumis semua kulit kayu manis + bunga lawang + bunga cengkih dan kacau sekejap kemudian boleh dimasukk semua bahan tumbuk iaitu bawang dan halia tadi . Kacau lagi sampai bawang layu dan masukkan bancuh rempah kari dalam periuk . Boleh ditambah minyak jika rempah nampak agak kering . Masukkan juga cili kisar dan kacau serta biar kan sampai rempah terbit minyak dan menjadi wangi .

Masukkan santan dan ubi kentang , biarkan kuah mendidih serta boleh dimasukkan semua ayam . Kacau kuah dan bila daging serta ubi kentang telah empuk baru la masukkan semua telur serta garam secukup rasa . Biar kari terus mendidih selama 5 minit dan boleh la di tutup api dapur. Dah pun masak , mudah saja....

Kari ayam dengan telur serta ubi kentang..

Monday, 11 June 2012

Sawi putih dari halaman rumah

Sambil bela pokok ros saya pun tanam sayur dalam pasu kecil . Nak jaga agak mudah sayur sawi ni bagi cukup baja dan air elok la tumbuh dan bila dah besar cukup matang boleh la dikutip . Saya saja  tanam sayur ni untuk seronok-seronok dan alhamdulillah sayur sawi ni mahu hidup . Sawi putih ni saya masak tumis biasa saja alhamdulillah sedap..


BAHAN-BAHAN :

2 ikat sayur sawi putih
sedikit fucuk - direndam sehingga kembang
sos tiram secukupnya
Sedikit minyak bijan 
Garam secukup rasa

BAHAN DITUMBUK ATAU KISAR :


Segengam udang kering - basuh dan rendam dlm air panas
2 biji bawang merah - kupas kulit
2 ulas bawang putih - kupas kulit

CARA MEMASAK :

- Bersihkan sawi putih dan dipotong kecil .  Kupas semua bawang dan rendam udang kering dlm air panas sekejap kemudian di tos . Rendam semua fucuk sehingga kembang dan tos ketepikan dulu .

- Tumbuk semua bawang dengan udang kering sampai lumat . Panaskan minyak secukupnya dan boleh la ditumis semua bahan tumbuk dan kacau .

-Bila bahan tumbuk yang ditumis sudah masak dan terbit bau boleh la dimasukkan sos tiram . Kacau semua bahan-bahan dan masukkan sayur sawi dengan fucuk tadi dan minyak bijan . Kacau semua bahan dan rasa masin kalau tak cukup baru ditambah garam secukupnya . Bila sayur dah masak boleh la ditutup api dapur .


Saat paling seronok ialah masa kutip hasil tanaman sendiri , anak-anak saya pun tolong kutip sayur sawi ni . Pengalaman baru untuk anak-anak saya melihat macam mana proses sayur ni mula ditanam dari biji benih sehingga besar . Saya tanam secara organik sayur sawi ni saya tak sembur dengan racun kimia dan saya hanya guna baja organik . 


Sawi putih yang baru bercambah dari biji benih , cukup senang tumbuh sayur sawi ni dalam masa 10 hari dah tumbuh macam anak pokok dalam gambar ni , seronok tengok..


Anak sayur sawi bila dan besar macam ni dah boleh di alih ke pasu-pasu kecil..


Lepas 25 hari sayur sawi ni semakin besar alhamdulillah mahu juga sayur sawi ni hidup subur..


Masa ni pokok sawi dan umur 3 minggu , saya siram pada waktu pagi dan petang . Tiap-tiap minggu saya tabur baja organik dan syukur alhamdulillah la tak ada serangga perosak makan daun sayur sawi ni..


Aisyah seronok tolong Mama kutip hasil sayur-sayuran , walaupun laman rumah saya ni kecil dan tiada tanah tapi sebab saya ni memang suka bercucuk tanam saya cuba juga tanam sayur dalam pasu-pasu kecil dan alhamdulillah semua sayur yang saya tanam itu hidup subur walaupun hasilnya tak la banyak mana tapi cukup untuk kami sekeluarga rasa/makan .  Lepas ni saya plan nak try tanam sayur bayam , biji benih dah beli tunggu nak tanam saja ^_^