Pages

Showing posts with label ikan. Show all posts
Showing posts with label ikan. Show all posts

Wednesday, 3 June 2015

Sambal hancur ikan sembilang

Sambal ikan sembilang atau ikan keli hancur ni adalah menu special dari mak saya . Sambal ini sangat-sangat sedap sebab isi ikan keli sebati dengan bahan tumbuk/sambal . Saya guna semula minyak bekas goreng ikan keli ni semasa nak menumis sambal ni . 'Sonang nak makan sambal ikan ni sebab tulang dah tak ado' itu la yang diberitahu oleh mak saya . Anak-anak saya suka makan sambal ini sebab tak perlu kopek isi dari badan ikan sembilang/keli .  

Kebanyakkan menu/resepi masakan Negeri Sembilan simple saja tapi bahan-bahan yang diguna adalah yang berkualiti/terbaik seperti : santan fresh mesti yang pati/pekat , mak hanya guna garam kasar , hanya guna kunyit hidup tua , hanya guna cili api burung yang paling kecil , serai yg besar dan fresh , hanya guna asam keping dan macam-macam lagi teknik masak supaya lauk yang di masak cukup sedap . 


BAHAN-BAHAN :

8 ekor ikan keli - dibersih lumur dengan garam /kunyit dan digoreng sampai garing
1 keping asam keping
Minyak masak secukupnya utk goreng ikan
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN DI TUMBUK LUMAT :

15 biji cili api - kalau nak pedas tambah la lagi
3 biji bawang merah
2cm kunyit hidup

CARA MEMASAK :

Goreng ikan keli sampai garing kemudain angkat dan tos , bila ikan dah sejuk ambil isi ikan sembilang/keli ni dan buang semua tulang serta kepala ikan .

Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk dan biarkan cili masak serta menjadi harum. Masukkan semua isi ikan keli goreng tadi dengan satu keping asam keping. Masukkan garam serta gula secukup rasa . Kacau semua bahan sampai mesra , bila semua bahan dan sebati boleh la ditutup api dapur.

Monday, 19 January 2015

Asam pedas ikan parang

Secukup rasa , alhamdulillah .


BAHAN-BAHAN:

1 kilo ikan parang segar
2 batang serai - dititik
1 bunga kantan - dibelah dua
8 biji kacang bendi - dipotong 2
Asam jawa secukup rasa atau asam keping
Segenggam daun kesum/ 1 ikat
air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN DI BLEND:

15 biji cili kering - direbus supaya menjadi lembut
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci lengkuas
2 inci halia
3 cm belacan

*Jika suka lebih kuah masukkan lebih air dan kalau nak lagi pedas tambah la cili lagi.
CARA MEMASAK:
Panaskan minyak secukupnya dalam periuk dan tumiskan bahan-bahan diblend sehingga naik bau . Kacau sehingga sambal menjadi masak dan pecah minyak . Kemudian masukkan serai dan kacau lagi.Seterusnya masukkan air secukupnya , daun kesum dan bunga kantan . Kacau semua bahan dan biarkan kuah hampir mendidih.
Masukkan semua ikan parang , garam dan gula secukupnya . Jika kurang kuah boleh ditambah air sehingga menutup ikan dalam periuk . Kemudian kacau supaya semua bahan menjadi mesra . Jangan kacau terlalu laju dan kuat nanti ikan parang boleh pecah . Rasa kuah dan boleh dimasukkan sedikit demi sedikit air asam jawa sehingga cukup mengikut citarasa sendiri . Masukkan semua kacang bendi yang di potong 2 .

Biar kuah mendidih sehingga ikan masak boleh la di matikan api dapur .Tutup periuk dengan penutup, ini adalah untuk membiarkan ikan parang dan bendi terus masak di dalam wap panas kuah.

Wednesday, 12 November 2014

Masak kukus ikan siakap sos kicap

First time kami makan ikan kukus kicap ni semasa di restoran Haji Sharin Low di Bangi , sedap la . Saya cari beberapa resepi kukus ikan kuah kicap ni di internet dan bila baca resepi baru lah saya tau macam mana nak hilangkan bau hanyir ikan siakap . Saya cuba masak sendiri kukus ikan ni dan alhamdulillah sesedap rasa ikut citarasa kami sekeluarga . Jika ada yang nak cuba masak kukus ikan siakap ni anda boleh ubah suai resepi mengikut citarasa sendiri . 


BAHAN-BAHAN :
1 ekor ikan siakap - anggaran 1 kilo
4 biji bawang putih
3 inci halia
daun bawang / sup secukupnya
3-4 sudu minyak sayur
8 biji limau kasturi

BAHAN-BAHAN SOS :

3 sudu besar kicap cair
3 sudu kicap manis kipas udang
1 sudu kecil minyak bijan
1/2 cawan air
1/2 sudu kecil cuka
serbuk lada sulah secukupnya
sedikit minyak untuk menumis

CARA MEMASAK :
1) Sediakan periuk kukus , isi air di dalam periuk kukus dan masak sampai air mendidih . Sementara tunggu air dalam periuk masak boleh la di bersihkan ikan siakap . Belah 2 semua limau kasturi dan perah air limau ke atas ikan siakap dan bersih bahagian dalam ikan siakap dengan air limau kasturi ni , bilas ikan siakap dengan air biasa dan tos . Kemudian kelar-kelar badan ikan siakap , lumur ikan dengan sedikit garam . Bersihkan halia dan dipotong nipis kemudian masukkan halia ke dalam perut ikan di bahagian badan ikan yang di kelar tadi . Letakkan ikan siakap dalam bekas yang sesuai dan kukus ikan sampai masak .

2) Kupas semua bawang putih dan cicang sampai halus . Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bawang putih sehingga agak garing dan kemudian masukkan semua bahan sos tadi , kacau sampai sos mendidih . Jika sos terlalu masin boleh ditambah sedikit air dan kalau ada rasa yang kurang boleh ditambah bahan ikut pada citarasa sendiri . Bila sos dah mendidih boleh la ditutup api dapur .
3) Ikan siakap yang dah masak tadi di alih ke pinggan lain dan dibuang semua air ikan yang keluar masa dikukus . Buang semua halia pada ikan kemudian taburkan daun sup/bawang yang sudah dipotong kecil . Curah kan sos kicap pada ikan kukus , panaskan 3-4 sudu minyak sayur dan tuang rata minyak sayur yang panas ni ke atas ikan siakap . Hidangan ikan ni sedap dimakan waktu panas .

Saturday, 19 July 2014

Asam pedas ikan parang



BAHAN-BAHAN:

1 kilo ikan parang segar
2-3 cawan air
2 batang serai
2 bunga kantan- dibelah dua
Asam jawa secukup rasa atau asam keping
Segenggam daun kesum/ 1 ikat
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN DI BLEND:

15 biji cili kering - direbus supaya menjadi lembut
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci lengkuas
2 inci halia
3 cm belacan

*Jika suka lebih kuah masukkan lebih air dan kalau nak lagi pedas tambah la cili lagi.
CARA MEMASAK:
Panaskan sedikit minyak dan tumiskan bahan-bahan diblend sehingga naik bau.Kacau sehingga sambal menjadi masak dan pecah minyak.Kemudian masukkan serai dan kacau lagi.
Seterusnya masukkan air , daun kesum, asam keping dan bunga kantan. Kacau semua bahan dan biarkan kuah hampir mendidih.


Masukkan ikan parang , asam keping , garam dan gula . Kemudian kacau supaya semua bahan menjadi mesra. Jangan kacau terlalu laju dan kuat nanti ikan parang boleh pecah.

Biar kuah mendidih untuk 3-5 minit lagi dan boleh la dimatikan api dapur .Tutup periuk dengan penutup, ini adalah untuk membiarkan ikan parang terus masak di dalam wap panas kuah.

Thursday, 12 June 2014

My fav - Ikan cencaru belah belakang

Sejak dulu lagi ni adalah antara lauk favorite saya . Ikut selera saya , ikan cencaru hanya sedap bila di masak begini atau di buat asam pedas . Ikan cencaru belah belakang dan di lilit dengan daun kunyit , aroma wangi daun kunyit melekat pada badan ikan cencaru ^_^ dan menjadikan ikan cencaru ni wangi . Isi ikan pun masih moist sebab bahagian tepi ikan tak terbuka sebab ditutup dengan daun kunyit dan sambal di dalam perut ikan tak terlalu garing atau hangit . alhamdulillah sedapnya makan nasi hari ni dengan ikan cencaru belah belakang ni ^_^



BAHAN-BAHAN:

4 ekor ikan cencaru - dibersihkan dan belah bahagian belakang.

BAHAN DIBLEND ATAU TUMBUK:

8 biji cili merah
1 biji bawang besar - kalau besar sgt ambil sebelah saja
1 sudu besar belacan bakar
garam secukup rasa

* boleh tambah sedikit air asam jawa jika anda suka rasa masam pd sambal .

BAHAN LAIN :

2 helai daun kunyit saiz besar
beberapa lidi pencungkil gigi

CARA MEMASAK :
-Ikan cencaru dibersihkan dan dibelah belakangnya . Sambal ni ditumbuk hancur dan jangan sampai terlalu lumat . Ikan dilumur dengan garam kemudian disumbat dengan cili tumbuk tadi di bahagian belahan belakang ikan. Jangan masuk terlalu banyak cili di bahagian belakang ikan sebabnya bila mengoreng cili tu akan terkeluar . 

- bersihkan daun kunyit dan dibelah dua - buah tulang kt tengah daun . Perlahan-lahan lilit daun kunyit keliling ikan macam dlm gambar . Cuba lilit daun bagi kejap jangan longgar kemudian secara perlahan cucu lidi pengcunkil gigi ke badan/isi ikan dan selit lidi tu supaya daun kunyit kemas di badan ikan .

-Panaskan minyak yang banyak untuk mengoreng teknik deep fry dan bila minyak sudah panas masukkan ikan seekor demi seekor dengan perlahan-lahan . Gunakan api sederhana semasa mengoreng supaya ikan jangan menjadi hangit . Kulit ikan cencaru yang tebal dan daun kunyit akan melindungi isinya dari menjadi terlalu garing.
-Bila ikan sudah kelihatan garing boleh la diangkat dan ditos dahulu .


Friday, 4 April 2014

Resepi biasa je - kari ikan merah

Resepi biasa saja dari blog saya ni . Kari ikan merah campur dengan bendi dan terung yang saya tanam sendiri di laman , alhamdulillah . Lauk kari memang antara juadah favorite anak-anak saya tak kira apa jenis kari sama ada kari telur , ayam , ikan , daging dan juga dalca . So selalunya sekali atau 2 kali seminggu saya akan masak lauk kari . 

Paling utama nak masak kari ikan adalah rempah , santan mesti fresh dan kalau masak kari ikan jangan lupa halba campur dan daun kari . Bila tumis rempah biar sampai masak pecah minyak . Saya lagi suka guna asam keping sebab kari akan rasa lebih sedap tapi kalau nak guna asam jawa pun boleh juga . Bahan- bahannya sangat senang nak di ingat - bawang merah , bawang putih , halba campur , daun kari , rempah kari ikan , asam keping dan santan fresh serta garam . Kalau nak kari pedas sikit masukkan 1-2 sudu cili kering kisar . Itu saja yang dapat saya kongsi kan tentang bahan-bahan kari dan kalau nak kari sedap selalu la masak kari practice makes perfect ^_^


BAHAN-BAHAN :
1 ekor ikan merah - berat 1 kg
2 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 tangkai daun kari
1 sudu kecil halba campur
1 peket rempah kari ikan
5 cawan santan - boleh tambah
kacang bendi & terung
2 keping asam keping
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
- Panaskan minyak dalam periuk dan tumis semua bawang bersama halba campur serta daun kari.
- Letakkan rempah kari di dalam mangkuk kecil dan campurkan sedikit air kemudian tumis di dalam periuk . Rempah kari mesti sentiasa dikacau supaya tidak menjadi hangit . Jika rempah nampak kering tambah sedikit minyak masak , kacau sampai rempah masak dan terbit minyak , bau harum

-Bila rempah sudah masak boleh la dimasukkan semua santan , asam keping dan kacau . Biar mendidih dan masukkan ikan merah dan garam kemudian kacau . Biarkan seketika sehingga kuah mendidih kemudian rasa garam dan masam kuah supaya sesuai dengan selera. 

-Bila ikan sudah masak boleh la dimasukkan semua kacang bendi atau terung dan kacau supaya semua bahan menjadi mesra biarkan kuah mendidih seketika dan boleh la ditutup api dapur .Tutup periuk dengan tudung periuk supaya kacang bendi terus masak didalam wap panas kuah kari. Saya suka masak kacang bendi begini supaya tidak menjadi terlalu masak dan kacang bendi boleh menjadi lembek .

Buah terung dari laman , seronoknya anak saya petik buah bendi . Pengalaman baru untuk anak-anak saya tengok pokok terung yang saya tanam dari anak pokok membesar dan berbuah , alhamdulillah .

Tuesday, 4 March 2014

Masak pindang ikan senangin

Menu lauk yang sangat ku gemari ^_^


BAHAN-BAHAN :

1 kg ikan senangin - saiz besar
2 batang serai - dititik
6 pokok daun kesum
2 keping asam keping - boleh ditambah ikut selera sendiri
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 biji cili merah yang besar 
2 cm kunyit hidup
2 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 cm belacan yang dah dibakar

*Selalunya asam pindang utara ni tak terlalu pedas . Rasa masam serta pedas adalah seimbang..

CARA MEMASAK :

- Masukkan semua bahan tumbuk dalam periuk , serai , air dan asam keping . Masak kuah pindang sampai mendidih kemudian masukkan semua ikan senangin , garam secukup rasa serta sedikit gula kemudian dikacau . Biarkan kuah memdidih dan ikan masak baru la ditutup api dapur.

Monday, 3 March 2014

Sambal tumis ikan tenggiri

Memang sedap makan sambal ikan ni dengan nasi , alhamdulillah .


BAHAN-BAHAN :-

6 keping isi ikan tenggiri - saiz besar
1 biji bawang besar - dipotong kecil-kecil membulat
12 sudu besar cili kisar - boleh tambah
Air asam jawa secukupnya
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN-BAHAN DITUMBUK LUMAT :-

1 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 inci belacan

CARA MEMASAK :-

- Bersihkan ikan serta digaul dengan garam serta kunyit kemudian digoreng sehingga masak . angkat ikan dan ditos .

- Panaskan minyak secukupnya dalam kuali . Masukkan bahan-bahan yang telah ditumbuk dan kacau sampai layu kemudian masukkan cili kisar secukupnya . Kacau semua bahan dan biarkan sambal menjadi masak serta pecah minyak . Jika sambal nampak kering boleh ditambah minyak masak lagi .

- Masukkan bawang besar , gula dan dikacau sekali sekala semua bahan. Masukkan air asam jawa kemudian terus kacau sambal . Selalunya saya akan masukkan 1 sudu kecil gula dalam sambal ikan ni untuk bagi seimbang dgn rasa pedas .

- Bila sambal dah masak serta pecah minyak baru la boleh dimasukkan isi ikan yang sudah digoreng tadi serta garam dan kacau rata .Rasa garam jika kurang boleh ditambah dan gaul semua bahan supaya menjadi sekata dan boleh la ditutup api dapur . Tambah atau kurang bahan ikut selera sendiri .

Thursday, 30 January 2014

Gulai tempoyak ikan bawal emas

Yummmmmy alhamdulilah....

BAHAN-BAHAN :

3 ekor ikan bawal emas
2 batang serai - dititik
6 sudu besar tempoyak - boleh tambah
1 keping asam keping - kalau tempoyak dah masam tak perlu la ditambah asam keping
1/2 sudu kecil gula
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

2 cili merah
5 cili api
2 cm kunyit hidup

CARA MEMASAK :

- Masukkan semua bahan tumbuk dalam periuk , serai , air dan asam keping kemudian masak kuah sampai hampir mendidih . Masukkan semua ikan bawal kemudian masukkan garam dan gula secukup rasa , kacau semua bahan . Biarkan kuah memdidih dan ikan masak baru la ditutup api dapur.

* Tambah bahan atau kurangkan bahan ikut selera sendiri . Jika tempoyak dah mula masam boleh la dicampur lebih banyak gula .

Monday, 27 January 2014

Goreng celup tepung ikan bulu ayam

Dah lama tak makan ikan bulu ayam yang digoreng celup tepung , alhamdulillah sedap . Ikan celup tepung ni elok digoreng garing dan dimakan dengan sos cili Thai mmmm yum yum ^_^


Bahan-Bahan :

1 kg ikan bulu ayam segar
1 cawan tepung beras
1/2 cawan tepung gandum
sedikit serbuk kunyit
garam secukup rasa
air secukupnya

Cara masak :

-bersihkan ikan bulu ayam dan potong buang kepala dan perut ikan . Basuh dan tos serta ketepikan dulu.

-Bancuh adunan tepung gandum bersama tepung beras , sedikit serbuk kunyit , garam secukup rasa . masukkan sedikit demi sedikit air ke dalam campuran tepung dan kacau - jgn terlalu cecair atau terlalu pekat anggaran 3/4 cawan air atau lebih sedikit .

- Panaskan minyak secukupnya untuk deep frying , guna senduk atau sudu yang besar dan ambil 3-4 ekor ikan dan celup dalam adunan tepung kemudian perlahan-lahan masukkan ikan dalam minyak yg panas . Goreng ikan sehingga masak garing kekuningan , angkat dan tos . 


Saya guna gunting dapur untuk potong kepala dan perut ikan bulu ayam ni .


Ni la ikan bulu ayam yang kami beli segar di kedai ikan di tepi jalan menuju ke Morib . 

Friday, 17 January 2014

Ikan siakap sos kicap pedas masam manis

Resepi ringkas utk ikan siakap 


BAHAN-BAHAN :

1  ekor ikan siakap saiz besar - dibersihkan
2  ulas bawang putih
2 biji bawang merah
1 biji bawang besar
2 sudu besar cili kisar
5 biji cili api - dititik
2 cm halia
2 sudu besar sos tiram
1 biji buah tomato masak ranum dicincang
Kicap manis secukup rasa
Sos plum secukupnya
Sedikit air - jika perlu
Sedikit daun sup dan bawang
Garam dan gula secukup rasa

CARA MEMASAK :

Bersihkan ikan dan gaulkan bersama garam dan kunyit , kemudian goreng ikan sehingga garing kemudian diangkat serta tos dan diketepikan dulu .                          
Bawang merah , bawang putih , halia dan ditumbuk lumat . Panaskan minyak secukupnya dalam 5 sudu besar dan tumis bahan yang ditumbuk . Kacau bahan tumis sampai naik bau kemudian masukkan cili kisar serta cili api dan terus kacau sebentar sehingga cili masak . Masukkan bawang besar yang dipotong nipis-nipis , buah tomato yg dicincang dan kacau semua bahan .

Masukkan daun bawang/sup yang dipotong kecil dan sos tiram secukupnya . Masukkan kicap manis secukupnya , sos plum secukupnya dan kacau semua bahan-bahan . Jika kuah terlalu pekat boleh dimasukkan sedikit air . Biarkan kuah mendidih dan kacau kemudian masukkan garam dan gula . Rasa sos jika ada bahan yang terkurang boleh ditambah ikut selera sendiri .

Bila kuah sudah mendidih boleh ditutup api dapur dan curahkan sos ke atas ikan yang sudah diletakkan dalam pinggan  . Jika ada bawang goreng dan daun sup/bawang boleh la ditabur atas ikan ni .

Friday, 6 December 2013

Masak lemak cili api talapia merah

Menu simple saja untuk hari ni , alhamdulillah.


BAHAN-BAHAN:
5 ekor ikan talapia merah
4-5 cawan santan 
1 batang serai saiz besar - dititk
1-2 keping asam keping

BAHAN DITUMBUK LUMAT :
10 biji cili api
3cm kunyit hidup
garam secukup rasa

CARA MEMASAK :
Satukan santan dengan semua bahan tumbuk , asam keping serta serai ke dalam periuk dan masak sampai kuah mendidih. Kacau kuah santan supaya tak pecah lemak . Kalau tak cukup kuah boleh ditambah santan lagi.
Kemudian masukkan ikan talapia yang sudah dibersihkan dan dipotong 2 , masukkan garam secukup rasa dan biarkan kuah mendidih . Bila ikan sudah bertukar warna dan masak boleh la ditutup api dapur.

Monday, 28 October 2013

Masak lemak pucuk peria ikan sardin tin

Menu ikan sardin tin campur pucuk peria kambas ni mak mertua saya yang masak masa raya haji yang lepas . Menu istimewa untuk makan tengahari masa raya Haji yang lepas , riuh rendah rumah mertua saya sebab raya Haji kali ni ramai adik beradik suami saya balik kampung termasuk la kami sekeluarga .Selalunya ikan sardin tin mak mertua saya buat sambal tumis tapi kali ni mak mertua saya masak lemak kuning campur dengan daun peria kambas . Alhamdulillah sangat-sangats edap ^_^


BAHAN-BAHAN :

1 tin besar ikan sardin 
4 santan - kalau tak cukup tambah sikit lagi
3 cm kunyit hidup
8 biji cili api
2 batang serai - dititik
1 keping asam keping - saiz kecil
Garam secukup rasa

CARA MEMASAK :


Bersihkan daun peria kambas , tumbuk sampai kumat cili api dengan kunyit hidup kemudian titik serai . . Masukkan semua bahan tumbuk dalam periuk bersama santan dan serai yg dititik . Hidupkan api dapur dan biar sampai kuah mendidih . Masukkan semua pucuk daun peria dan garam serta asam keping .  Jika kuah dah cukup masam tak perlu ditambah asam keping . Masukkan semua isi ikan sardin tin dan 1-2 sudu kuah sardin tin ni . Kacau kuah sekali-sekala supaya tak pecah minyak, bila dah mendidih dan pucuk peria dah masak boleh la ditutup api dapur .

Tuesday, 8 October 2013

Ikan tenggiri tumis kicap...

Hitam hitam si tampuk manggis ,
Walaupun hitam dipandang manis..

Masak kicap ni rupanya memang la macam tak menarikkan tapi hanya yang rasa tau sedap ke atau tak sedap ikan tenggiri tumis kicap ni . Resepi simple dari dapur nannie untuk hari ni . Bahan utama lauk ni ialah kicap manis Kipas Udang dan bawang besar . Simple tapi sedap 'SS' ^_^


BAHAN-BAHAN:
1 ekor ikan tenggiri kecil - anggaran 1 kilo
1 ulas bawang putih
1 biji bawang merah
2 biji bawang besar
kicap manis 'Kipas udang' - secukupnya
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil lada hitam -boleh ditambah
Minyak masak secukupnya

* Sya guna minyak yang agak banyak utk menumis

CARA MEMASAK:


1) Bersihkan ikan potong menjadi kepingan kecil dan kemudian digaulkan dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng ikan sehingga agak garing dan angkat toskan ketepikan dulu.

2)Tumbuk semua bawang merah/putih , biji lada hitam . Tumis bahan tumbuk ini sampai naik bau wangi . Masukkan pula bawang besar yang telah dipotong nipis-nipis serta kacau dan biarkan layu sedikit.

3) Kemudian masukkan semua ikan tenggiri yg sudah digoreng , kicap , sos tiram dan kacau semua bahan ni . Bahan boleh ditambah atau dikurangkan ikut selera sendiri .

Thursday, 3 October 2013

Masak rebus ikan bawal emas


BAHAN-BAHAN :

2 ekor ikan bawal emas - dibersih
1/2 biji bawang besar - dimayang nipis-nipis
2 ulas bawang putih
3cm halia muda
4 biji buah tomato
1 batang serai
air asam jawa secukup rasa
1 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil minyak bijan
Air secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Minyak utk menumis

* boleh tambah atau kurang bahan ikut selera sendiri 

CARA MEMASAK :


Bersihkan ikan dan dipotong 2 kemudian kupas semua kulit bawang , halia dan dimayang nipis . Panaskan minyak secukupnya dan tumis semua bawang serta halia sehingga wangi kemudian masukkan serai yg sudah dititik . Masukkan sos tiram , minyak bijan dan air secukupnya . Kacau semua bahan sehingga sebati dan masukkan buah tomato yg dipotong 4 . Biarkan kuah mendidih dan boleh la dimasukkan ikan bawal emas tadi serta kacau . Masukkan air asam jawa secukup rasa atau 1 asam keping dan kacau semua bahan serta ditutup periuk .

Bila ikan masak serta kuah mendidih boleh la dirasa kuah jika kurang masin boleh ditambah garam dan bahan-bahan lain . Ubah suai bahan ikut selera sendiri . Kacau bagi semua bahan mesra dan bila dah masak boleh la ditutup api dapur .

Tuesday, 1 October 2013

Kari ikan gerut

Dah lama tak masak kari , sedapnya kari ikan gerut ni alhamdulillah..


BAHAN-BAHAN:


1 ekor ikan gerut - anggaran berat 1.5 kg 
4 biji bawang merah 
2 ulas bawang putih
2 tangkai daun kari-ambil daun saja
1 sudu kecil halba campur
1 sudu besar cili kering kisar
1 peket rempah kari ikan - saya guna Baba`s 
4-5 cawan santan - boleh tambah
Garam dan air asam jawa secukup rasa

CARA MEMASAK:
-Bersihkan ikan gerut dan dipotong 3 dan ketepikan dulu . kupas semua bawang serta racik nipis-nipis .

- Panaskan minyak dalam periuk dan tumis semua bawang bersama halba campur serta daun kari , kacau semua bahan sampai bawang layu . Masukkan cili kisar tadi dan kacau sekejap sehingga cili masak .
-Letakkan rempah kari di dalam mangkuk kecil dan campurkan sedikit air serta kacau rempah itu dan kemudian tumis di dalam periuk . Rempah kari mesti sentiasa dikacau supaya tidak menjadi hangit. Biarkan rempah masak dan terbit minyak.

-Bila rempah sudah masak boleh la dimasukkan semua santan dan kacau supaya semua bahan menjadi mesra. Jika kuah terlalu pekat boleh ditambah santan cair . Bila kuah mendidih masukkan semua ikan gerut tadi . Masukkan garam dan air asam jawa secukup rasa .Biarkan seketika sehingga kuah mendidih kemudian rasa garam dan masam kuah supaya sesuai dengan selera. Kurang atau tambah bahan ikut selera sendiri .Bila ikan dah masak boleh la ditutup api dapur .

Saturday, 27 July 2013

Ikan siakap kukus sos kicap

Ikan siakap kukus sos kicap ni memang favorite saya dan famili . Begini la cara ikan siakap dimasak jika di restoran cina . Selalunya kalau nak makan ikan siakap kukus kicap ni kami akan ke restoran Haji Sharin Low di Bangi . Tapi sekarang ni saya masak sendiri saja hidangan ni sebab lebih jimat hehe , bila dah anak-anak suka saya pun mula la google cari resepi ni , saya ubah suai sikit ikut citarasa kami sekeluarga ^_^ 


BAHAN-BAHAN :
1 ekor ikan siakap - dibersihkan
4 biji bawang putih
3 inci halia
daun bawang / sup secukupnya
3 sudu besar minyak sayur

BAHAN-BAHAN SOS :

2 sudu besar kicap cair
2 sudu kicap manis kipas udang
1 sudu kecil minyak bijan
1/2 cawan air
1/2 sudu teh cuka
serbuk lada sulah secukupnya

CARA MEMASAK :
1) Sediakan periuk kukus , bersihkan ikan siakap kemudian kelar-kelar badan ikan siakap , lumur ikan dengan sedikit garam . Bersihkan halia dan dipotong nipis kemudian masukkan halia ke dalam perut ikan di bahagian badan ikan yang di kelar tadi . Letakkan ikan siakap dalam bekas yang sesuai dan kukus ikan sampai masak .

2) Kupas semua bawang putih dan cicang sampai halus . Panaskan sedikit minyak dan tumis semua bawang putih sehingga agak garing dan kemudian masukkan semua bahan sos tadi , kacau sampai sos mendidih . Jika sos terlalu masin boleh ditambah sedikit air dan kalau ada rasa yang kurang boleh ditambah bahan ikut pada citarasa sendiri . Bila sos dah mendidih boleh la ditutup api dapur .
3) Ikan siakap yang dah masak tadi di alih ke pinggan lain dan dibuang semua air ikan yang keluar masa dikukus . Buang semua halia pada ikan kemudian taburkan daun sup/bawang yang sudah dipotong kecil . Curah kan sos kicap pada ikan kukus , panaskan 3-4 sudu minyak sayur dan tuang rata minyak sayur yang panas ni ke atas ikan siakap . Hidangan ikan ni sedap dimakan waktu panas .

Friday, 21 June 2013

Ikan talapia masak sambal

Alhamdulillah sedapnyaa.... 


BAHAN-BAHAN :

2 ekor ikan talapia pink - saiz besar
1 biji bawang besar
8-10 sudu besar cili kisar
Air asam jawa secukup rasa
Garam secukup rasa 
gula secukup rasa 
Minyak masak secukupnya

BAHAN DITUMBUK LUMAT/KISAR :

4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih - saiz besar
1 sudu besar belacan bakar

* Resepi yang saya bagi ni hanya la panduan , kalau ada sesiapa nak cuba anda boleh ubah suai atau nak tambah bahan-bahan lain ikut pada selera masing-masing . Saya guna minyak yang agak banyak semasa menumis supaya sambal tidak jadi kering .

CARA MEMASAK :

Bersihkan ikan talapia kemudian lumur ikan dgn garam dan serbuk kunyit . Panaskan minyak untuk deep fry ikan , bila minyak dah panas boleh dimasukkan ikan dan goreng sehingga masak dan sedikit garing.

Panaskan minyak secukupnya dan tumis semua bahan tumbuk sehingga layu dan masukkan cili kisar . Kacau semua bahan dan biarkan sampai cili masak pecah minyak dan menjadi wangi kemudian boleh la dimasukkan bawang besar yang sudah di potong nipis , gula dan garam secukup rasa . Bila bawang besar dah layu boleh la di masukkan air asam jawa dan kacau semua bahan bagi cukup mesra dan sambal masak .  

Monday, 13 May 2013

Ikan merah tumis kicap

Resepi masak kicap yg sangat simple dari saya ^_^

BAHAN-BAHAN:
2 ekor ikan merah saiz medium
1 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
7 sudu besar kicap manis 'Kipas udang' - boleh tambah
3 sudu sos tiram
air secukupnya
1/2 sudu kecil lada hitam-boleh ditambah

CARA MEMASAK:


1) Bersihkan ikan potong menjadi 2 dan kemudian digaulkan dengan garam dan serbuk kunyit. Goreng ikan sehingga agak garing dan angkat toskan serta disusun dalam mangkuk/pinggan yang sesuai .

2)Tumbuk semua bawang merah/putih , biji lada hitam . Tumis bahan tumbuk ini sampai naik bau wangi . Masukkan pula bawang besar yang telah dipotong nipis-nipis serta kacau dan biarkan layu sedikit.

3) Kemudian masukkan sedikit air , kicap , sos tiram dan kacau semua bahan ni . Kalau terkurang kuah boleh ditambah sedikit lagi air dan tambah la juga sedikit kicap supaya kuah jadi pekat semula . Bahan boleh ditambah atau dikurangkan ikut selera sendiri .
4) Biar kuah masak sehingga mendidih dan tutup api dapur , terus tuangkan semua kuah ke atas ikan yang sudah disusun dalam pinggan atau mangkuk . Pastikan kuah meliputi ikan ni , hidangkan masakan ikan ni sejurus selepas siap dimasak .

Monday, 4 March 2013

Tumis kicap ikan bawal emas


BAHAN-BAHAN :

2 ekor ikan bawal emas - dibersih
1 biji bawang besar - dimayang nipis-nipis
2 ulas bawang putih
2cm halia muda
5 sudu besar kicap manis - boleh tambah
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu kecil minyak bijan
Air secukupnya
Minyak utk menumis

CARA MEMASAK :

Bersihkan ikan dan dipotong 2 kemudian dilumur dengan garam dan kunyit . Panaskan minyak secukupnya untuk goreng deep fry ikan bawal ni . Bila minyak dah panas boleh la digoreng ikan sehingga masak kemudian diangkat dan tos dahulu . Susun ikan bawal emas ni di dalam pinggan/mangkuk yang sesuai .

Kupas semua kulit bawang serta halia dan dimayang nipis . Panaskan minyak secukupnya dan tumis semua bawang sehingga wangi . Masukkan sos tiram , minyak bijan , kicap dan air secukupnya . Kacau semua bahan sehingga sebati dan biarkan kuah mendidih dan boleh dirasa kuah jika kurang masin boleh ditambah garam dan bahan-bahan lain . Ubah suai bahan ikut selera sendiri . Kacau bagi semua bahan mesra dan boleh ditutup api dapur . Tuang atau ceduk kuah kicap ni dan tuang ke dalam pinggan yang berisi ikan bawal yang sudah digoreng tadi serta boleh la dihidang .