Pages

Tuesday 31 January 2012

AYAM CORDON BLEU

Hari ni saya masak ayam cordon bleu untuk makan tengahari kami anak beranak , alhamdulillah sedap . Saya ubah suai resepi dan cara masak ayam cordon bleu mengikut citarasa kami sekeluarga . Saya google untuk cari resepi ayam cordon bleu ni lepas dah tengok macam-macam jenis resepi untuk masa hidangan ni saya pilih resepi yang sesuai ikut selera kami sekeluarga , kalau ada di kalangan pembaca nak cuba ayam cordon bleu ni anda boleh ubah suai resepi ikut selera anda atau anda boleh google sendiri untuk cari resepi lain yang anda suka ya..

Ayam cordon blue bersama sos krim bawang putih , jejari kentang dan jagung rebus..


BAHAN-BAHAN :

5 ketul dada ayam - buang tulang rawan tengah
5 keping kepingan bologna ayam
5 keping keju
Bahan perisa secukup rasa
Serbuk lada hitam secukupnya
Garam secukup rasa
Mentega secukupnya
tali untuk ikat isi ayam
jejari kentang goreng secukupnya
jagung rebus

CARA MEMASAK :

Panaskan oven pada suhu 180'C selama 5 minit . Bersihkan dada ayam dan belah dada ayam untuk buang tulang rawan tapi pastikan isi dada ayam tak terbelah dua kemudian dada ayam di lumur bersama bahan perisa 'Secukup Rasa' dan serbuk lada hitam secukupnya . Simpan dalam peti sejuk selama 1 jam.

Keluar isi ayam dari peti sejuk dan leperkan dada ayam kemudian sapukan butter pada isi ayam ni dan boleh la disusun kepingan bologna ayam dan keju . Tabur sedikit lagi serbuk perisa serta serbuk lada hitam kemudian boleh la digulung isi ayam ini dengan kemas dan ikat isi ayam ni mengunakan tali kapas yang bersih .


Bila dah ikat boleh la disapu butter pada seluruh pemukaan isi ayam ni dan tutup ayam ni dengan aluminium foil dan dipanggang selama 20 minit atau sehingga dada ayam ni masak . Bila ayam dah masak boleh di tanggal aluminium foil ni dan ayam ni dipanggang selama 10 minit lagi sehingga ayam masak kekuningan . Bila ayam dah masak boleh la dikeluarkan dari oven dan dibiarkan ayam sejuk .


Pastikan ayam sudah sejuk dan boleh la dibuka tali pengikat dan isi ayam ni dipotong menjadi kepingan . Hidang ayam cordon bleu bersama sos , jejari kentang dan jagung..

RESEPI SOS KRIM BAWANG PUTIH 

2 sudu besar mentega
1 sudu besar minyak zaitun
2 ulas bawang putih saiz besar yang ditumbuk lumat
1 sudu besar tepung gandum
1 cawan susu segar dlm kotak
1/2 cream
1/2 cawan keju parmesan
serbuk pasley - optional

CARA MASAK :

- Masukkan semua butter dalam periuk dan panaskan periuk , bila butter dah cair masukkan semua bawang putih serta minyak zaitun dan goreng bawang putih sehingga wangi dan kekuningan . Boleh la dimasukkan tepung gandum dan kacau bahan-bahan ni sampai la tepung gandum bertukar warna kekuningan dan masak 

-Dengan cepat terus masukkan susu dan kacau sekejap . Kemudian masukkan semua cream dan kacau sos. Masukkan keju parmesan , serbuk herba pasley serta serbuk black pepper ke dalam periuk dan kacau . Rasa sos jika kurang masin baru dimasukkan garam ke dalam sos ni .

-Terus kacau sos dan guna api dapur sederhana besar serta biarkan sampai sos masak serta menjadi pekat .

JALAN-JALAN ke MELAKA

Macam biasa bila cuti sekolah yang panjang kami sekeluarga akan pergi bercuti dan kali ni kami ke Melaka  serta balik kampung di Jelebu . Saya suka ke Melaka sebab nak ke kedai antik yang jual macam-macam porcelian lama/antik dan anak-anak suka ke sana sebab ada banyak tempat menarik yang nak dilawati . Melaka ni pun dekat dengan kampung suami saya so lepas cuti ke Melaka kami terus balik kampung . Jom tengok gambar holiday kami kali ni...

Kami menginap di Hotel Iris yang terletak di Melaka Raya senang saja nak cari hotel ni yang terletak berdekatan dengan Dataran Pahlawan . Hotel ni bersih , selesa , cantik , baru dan harga bilik pun memang berpatutan atau boleh dikatakan murah la juga . Makanan untuk sarapan sedap dan nak jalan-jalan ke Bandar Hilir pun dekat saja .

Lepas sarapan kami terus ke Dataran Pahlawan dan tiap-tiap kali ke Melaka kami mesti ke sini...


Saya dan anak-anak tak berani duduk tepi kolam bila tengok ikan-ikan kap yang besar dalam kolam tu so tengok dari tepi saja..

Banyak ikan kap yang besar serta kelihatan macam jinak dan masa kami asyik perhatikan ikan-ikan dalam kolam ni tiba-tiba sekor ikan melonjak keluar kepala ke pemukaan air kolam haaaa memang terkejut la saya dan anak-anak tengok , terus kami tak jadi duduk di tepi kolam....


Lepas dan beli belacan dengan cencaluk dari bazaar dalam kompleks Dataran kami jalan-jalan ke A Famosa dan kami naik beca serta naik menara Tamingsari . Puas hati la anak-anak saya seronok cuma kali ni kami tak naik boat menyusuri sungai Melaka sebab ramai betul pelancong yang beratur so dalam keadaan hari yang panas kami tak tahan nak tunggu lama untuk giliran naik bot so kami ke tempat lain saja .

Adlina posing dengan meriam lama , banyak juga sesi soal jawab antara saya dengan Adlina . Macam-macam yang Adlina tanya dan nak tahu tentang semua tempat bersejarah yang kami pergi macam masa kami di A Famosa ni Adlina tanya kenapa ada banyak meriam dan kenapa meriam ni sama bentuk/rupa macam dalam cerita 'Pirates of the Caribbean' dan saya jawab sebaik mungkin soalan-soalan dari Adlina yang sangat-sangat curious ni....bagus juga bawa anak-anak ke tempat bersejarah ni supaya anak kita dapat banyak info/ilmu tentang Sejarah negara sendiri..

Kami singgah makan tengahari , ni la hidangan yang kami nikmati sekeluarga ada asam pedas Melaka , sayur kangkung tumis belacan dan telur dada . Sedap dan harga ok la , lepas makan kami terus ke Jonker Street sebab saya nak cari pinggan mangkuk lama dan selesai jalan-jalan di Jonker Street kami balik ke bilik hotel .


Malam lepas magrib kami ke Umbai untuk makan malam bila sampai ke Umbai keadaan ok tak sesak nak parking kereta senang saja . Tengok harga makanan di Umbai boleh la dan sedap juga ikan siakap 3 rasa serta lauk-pauk lain yang dimasak .


Ni antara makanan yang kami nikmati malam tu di Umbai ada sotong goreng tepung , ikan siakap 3 rasa , ikan pari bakar dan juga sayur kailan tumis ikan masin . Ikan dan sotong fresh dan cara masak pun sedap dan total selepas di campur nasi dan air ialah RM90 ok la kan harga lebih kurang sama kalau makan di Jeram , Kuala Selangor . 

Lepas dah bergembira di Melaka kami terus balik kampung ikut jalan lama , saya dan suami memang suka lalu jalan lama sebab pemandangan kampung aman damai dan masa dalam perjalanan kami jumpa gerai jual telur ni . Telur kalau ikut cara sebutan orang Negeri Sembilan dipanggil 'tolo' . Gerai ni diusahakan oleh penduduk tempatan dan harga telur yang dijual memang murah sangat laaa...


Bila sampai Pedas memang wajib la suami saya beli daging salai , lauk favorite En.Suami ku..

dan..akhirnya kami sampai ke kampung halaman..
Damai suasana kampung yang sentiasa kami rindu dan anak-anak saya pun happy dapat jumpa Wan dengan Atok . Ni hanya la pendapat saya , pada saya la melancong dan bercuti lah sejauh mana pun sehingga luar negara serta menginap di hotel mewah tapi hakikatnya bercuti dan balik kampung juga yang paling best kan .... 

Saturday 28 January 2012

DAGING SALAI dari PEDAS

Kadang-kadang bila balik kampung kami akan singgah beli daging salai di pekan Pedas , Negeri Sembilan ni . Gerai pakcik ni sebelah balai polis Pedas . Sebelum ni saya pernah buat n3 pasal daging salai dari Pedas ni dan kali ni saya highlight kan lagi tentang gerai pakcik yang sangat peramah ni sebab saja nak promote bisnes saudara sesama Islam . So kalau ada sesiapa yang nak cari daging salai fresh boleh la singgah ke gerai pakcik di pekan Pedas ni dan cara nak ke sana senang je kalau lalu highway PLUS masuk la ke exit Rembau/Pedas dan terus kan perjalan ke pekan Pedas nanti jumpa la gerai pakcik ni . Harga daging salai ni pun berpatutan dan yang penting cara daging salai ni fresh . Jom tengok gambar-gambar yang saya kongsi kan dalam n3 kali ni..

Dari jauh dah nampak signboard daging salai ni...

Begini la cara ikan dan daging salai dibuat..


Daging salai yang baru disalai dan daging yang diguna ada lah dari jenis lembu tempatan . Daging salai fresh macam ni sedap dimasak lemak cili api laaa..


Ni la hasilnya masak lomak cili api yang saya masak untuk kami sekeluarga nikmati..


BAHAN-BAHAN :

500gm daging lembu salai
4 cawan santan pekat
6 biji ubi kentang-dikupas kulit dan dibelah 4
6 batang serai- dititik

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

15 biji cili api - boleh tambah
2 inci kunyit hidup
Garam kasar secukup rasa

kalau kurang kuah boleh la ditambah santan lagi atau sedikit air .

CARA MEMASAK :

-Potong daging pada saiz yang sesuai dan bersihkan serta diketepikan dulu . 

-Masukkan semua bahan tumbuk , serai yang dititik , semua santan dan sekeping asam keping ke dalam periuk yang sesuai . Masak kuah sehingga mendidih dan masuk semua ubi kentang . Kacau kuah supaya tak pecah minyak .

-Bila ubi kentang separuh empuk boleh la dimasukkan ubi kentang . Biarkan daging masak dan sebati dengan kuah . Sekali sekala boleh dikacau kuah dan bila dah masak boleh la ditutup api dapur .

Friday 27 January 2012

CUCUR TERUNG dgn JAGUNG

Selamat pagi Jumaat..

Pagi ni jom kita makan cucur jagung campur terung n udang kering ni , alhamdulillah sedap . Saya masukkan sekali jagung ke dalam adunan cucur ni dan saya guna udang kering sebagai rencah tambahan , kalau nak tambah udang segar pun ok juga bertambah sedap la cucur ni..

Selamat pagi jemput minum teh dan makan cucur terung ni.... 

Pagi ni untuk sarapan saya guna set teko serta cawan dengan piring antik jenama Meakin Sunshine yang berusia 50 tahun . Cantik menawan kan corak serta bentuk teko dan cawan antik ni , teh yang di isi dalam cawan antik ni pun terasa lagi sedap la pulak hehehe . Saya memang peminat tegar set pinggan mangkuk teko cawan antik tak kira buatan dari England atau pun dari China serta Jepun . Selain dari nilai sentimental nostalgia lama , porcelian lama ni ada nilai estetika yang sangat tinggi . Sudah 4 tahun saya mengumpul pelbagai porcelian antik dan saya memang cukup terpesona dengan kecantikkan serta keunikkan porcelian lama ni..makin lama dibelek dan dipandang semakin sayang...isyallah akan saya simpan pinggan mangkuk lama ni serta menjadi warisan untuk saya beri pada anak-anak bila sampai masanya insyallah....


BAHAN-BAHAN:

2 cawan tepung gandum
2 batang jagung
1 biji terung panjang
1 genggam udang kering -boleh tambah
1 biji bawang besar
1 biji telur
1/2 sudu kecil soda bikarbonat
Air secukupnya
Sedikit serbuk kunyit
Garam secukup rasa

Boleh ditambah 1 biji cili hidup yang ditumbuk lumat jika mahu cucur pedas

CARA MEMASAK :

- Rendam udang kering sampai kembang dan tumbuk lumat . Potong jagung dan potong terung kecil-kecil ketepikan dulu . Potong bawang besar dan campurkan bersama bahan tumbuk serta digaul rata kemudian  masukkan air sedikit demi sedikit , digaul rata . Masukkan jagung , terung , telur , udang kering dan digaul rata semua bahan-bahan ni , pasti adunan jangan terlalu cair . Rasa adunan ni kalau jika kurang masin boleh la di tambah garam lagi .

- Panaskan minyak secukupnya dan boleh la digoreng adunan cucur sampai masak kekuningan . Angkat cucur dan tos ketepikan dulu . Bila dah sejuk boleh la dihidang dengan sos cili atau kuah kacang .

Saya suka guna banyak jagung...baru la sedap makan cucur ni..

Thursday 26 January 2012

KERABU PUCUK PAKU n PERUT

Sedapnya kerabu ni...
BAHAN-BAHAN :

2 ikat pucuk paku
400gm perut lembu - direbus sampai masak
Sebiji bawang besar - dimayang nipis-nipis
garam dan gula secukup rasa
jus limau nipis secukupnya
kerisik kelapa secukupnya

BAHAN DITUMBUK LUMAT ATAU DIKISAR :

3 biji cili merah - blh tambah kalau suka pedas
1-2 inci belacan bakar
2 inci halia
1-2 batang serai

CARA MEMASAK :

Bersihkan pucuk paku dan ambil daunnya saja . Rebus air dan celur pucuk paku sehingga masak kemudian ditos dan ketepikan dulu . Perut direbus sampai masak dan dipotong kecil dan diketepikan dulu.

Tumbuk lumat semua cili merah dgn belacan , halia dan serai  . Masukkan bahan tumbuk kedalam bekas yang sesuai kemudian gaul semua bahan dgn pucuk paku , bawang besar , perut lembu , garam / gula , jus limau nipis dan kerisik .Gaulkan semua bahan sehingga cukup mesra dan rasa jelatah jika ada bahan terkurang boleh la ditambah lagi . Kalau suka pedas boleh ditumbuk hancur beberapa biji cili api dan dicampur dalam adunan kerabu ni .

Bahan-bahan kerabu yang sudah boleh digaul bersama..


Kerabu ni seeloknya disediakan sejam sebelum dimakan supaya semua bahan cukup mesra baru la sedap dimakan..

ASAM PINDANG IKAN PATIN

Kali ni saya masak asam pindang dengan menumis dulu bahan-bahan yang ditumbuk macam cili merah , bawang merah , kunyit hidup dan belacan . Ikan patin memang sedap dimasak cara macam ni sebab kuah pindang yang masam pedas memang kena sangat dengan isi patin yang lembut dan cukup berlemak . Berselera betul makan nasi hari ni...


BAHAN-BAHAN :

1 ekor ikan patin
1 batang serai - dititik
1 genggam pokok daun kesum - dlm 5 pokok
1 keping asam keping - boleh ditambah ikut selera sendiri
Air secukupnya
Garam secukup rasa

BAHAN DITUMBUK LUMAT :


2 biji cili merah yang besar - kalu nak tambah pun boleh
2 cm kunyit hidup
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih
2 cm belacan yang dah dibakar

*Selalunya asam pindang utara ni tak terlalu pedas dan semua rasa masam , pedas adalah seimbang..

CARA MEMASAK :

- Bersihkan ikan patin dan ketepikan dulu . Tumbuk semua bahan-bahan sehingga cukup lumat .


- Panaskan minyak secukupnya untuk menumis dan bila minyak dah panas masukkan semua bahan yang ditumbuk lumat . Bila dah bahan tumbuk dah masak dan wangi boleh la dimasukkan air secukupnya serta dimasukkan daun kesum , serai dititk dan asam keping . Bila kuah dah mendidih masukkan semua ikan patin , garam secukup rasa dan kacau semua bahan secara perlahan-lahan . Biarkan kuah memdidih dan ikan masak baru la ditutup api dapur.

Tuesday 24 January 2012

SILA SINGGAH KEDAI NANNIE

Assalamualaikum , jika anda semua peminat pinggan mangkuk lama yang penuh nostalgia sila la singgah kedai online saya ni sila klik KEDAI NANNIE untuk ke blog saya tu . Ada macam-macam pinggan mangkuk lama yang saya jual dari masa ke semasa..

Gelas lama/retro yang saya jual 

Set cawan dgn corak lama era tahun 1960-an dan kalau nak tengok dengan detail sila la ke blog saya tu KEDAI NANNIE... 

Monday 23 January 2012

Sambal goreng berempah paru


BAHAN-BAHAN :

1 kg paru lembu
Air asam jawa secukup rasa
Garam dan gula secukup rasa


BAHAN-BAHAN REMPAH DIKISAR :


1 sudu besar ketumbar
1 sudu besar jintan putih
1 sudu besar jintan manis


* semua rempah ni digoreng tanpa minyak sehingga wangi dan ditumbuk atau dikisar kasar

BAHAN DIKISAR atau DITUMBUK :

5 biji cili kering - kalau nak pedas tambah la lagi
5 biji cili merah
8 biji bawang merah

* Resepi yang saya bagi ni hanya la panduan , kalau ada sesiapa nak cuba anda boleh ubah suai atau nak tambah bahan-bahan lain ikut pada selera masing-masing .

CARA MEMASAK :

Bersihkan paru dan rebus sehingga masak dan boleh ditos serta ketepikan dulu bagi paru sejuk . Potong paru ni nipis-nipis dan digaul dgn semua rempah , garam , kunyit dan 1 biji bawang besar yang dikisar . Perap paru ni selama 1-2 jam . Goreng paru sehingga masak kemudian ditos dan ketepikan dulu .


Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar , masukkan air asam jawa , gula dan biarkan cili masak sehingga terbit minyak dan sambal menjadi harum .

Masukkan  paru yang digoreng tadi dan masukkan garam/gula secukup rasa . Kacau bagi semua bahan mesra dan bila dah masak boleh la ditutup api dapur.


Paru yang digaul rata dengan bahan rempah , kunyit , garam dan bawang .


Paru yang sudah direbus dan boleh dipotong kecil-kecil .

Wednesday 18 January 2012

MASAK LEMAK CILI API TERUNG dgn IKAN MASIN

Hari ni saya teringin nak makan masak lemak ikan masin campur nenas so masa di pasar pagi tadi saya cari nenas tapi semua nenas yang ada dah terlalu masak so saya tukar guna terung bulat saja untuk dimasak dengan ikan duri masin . Saya belajar masak juadah ni dari mak mertua dan memang di kampung suami saya gulai ikan masin dimasak dengan terung . Alhamdulillah sedap gulai terung ni...

BAHAN-BAHAN :


4 biji terung bulat - dibersih serta dibelah 4 saja
Ikan duri masin atau ikan talang masin secukupnya
2 cawan santan pekat - boleh tambah
1 cawan santan cair
1 keping asam keping 
Garam secukup rasa

BAHAN DITUMBUK LUMAT :

10 biji cili api - suka pedas tambah lagi ya
3 cm kunyit hidup

CARA MEMASAK

Masukkan semua santan , bahan ditumbuk lumat , asam keping ke dalam periuk . Masak semua sampai kuah mendidih kemudian masukkan semua terung bulat , sekali sekala kacau serta biarkan sampai kuah mendidih . Boleh dimasukkan semua ikan masin dan kacau , bila ikan masin masak serta terung dan cukup empuk boleh la ditutup api dapur . Sentiasa kacau kuah supaya santan tak pecah minyak.

* Tambah garam jika kuah kurang masin .

Sedapnya....kuah masak lemak cili api ni cukup pekat .

SARAPAN PAGI NI - PASTA SPIRAL GORENG

Pagi ni saya goreng pasta spiral untuk sarapan dan untuk anak-anak bawa bekal ke sekolah . Makan pasta goreng macam ni memang kenyang sampai ke tengahari dan cukup tenaga untuk buat kerja rumah hihi..pasta ni saya goreng tak pedas so seisi keluarga boleh makan....


BAHAN-BAHAN:

3/4 peket pasta spiral

1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
1 peket sosej - dipotong kecil
2 ketul dada ayam - dipotong kecil
sayur brokoli secukupnya - dipotong kecil
1 batang carrot - potong kecil
100 grm tomato kering - kalau tak ada pun ok
Sebuk herba oregano secukupnya
Serbuk lada hitam secukupnya
1 biji kiub stok ayam
Garam secukup rasa
Serbuk keju parmesan secukupnya 
Butter untuk menumis

CARA MEMASAK:


1) Rebus pasta sampai lembut dan tos sekejap . Semasa merebus masukkan satu sudu kecil minyak ke dalam air rebusan pasta , supaya pasta tidak melekat antara satu sama lain.


2) Potong sausage dan dada ayam menjadi kepingan kecil boleh ditambah bahan-bahan lain seperti daging   atau chicken ball . Potong sayur carrot dan brokoli kecil-kecil . Bersihkan semua bawang dan dipotong kecil-kecil .serta racik tomato kering dan ketepikan dulu .


3) Panas kan 4 sudu besar butter dan tumiskan semua bawang sehingga wangi dan layu . Kemudian masukkan isi ayam dan digoreng sampai masak kemudian masukkan sosej dan terus kacau . Seterusnya masukkan herba oregano secukupnya , kiub ayam , tomato kering , serbuk lada hitam dan dikacau semua bahan-bahan ni .


4) Masukkan sayur carrot dan kacau kemudian masukkan sayur brokoli dan kacau sehingga sayur separuh masak . Masukkan semua pasta dan terus kacau supaya pasta bercampur mesra dengan bahan-bahan lain . Akhir sekali boleh ditambahkan garam secukup rasa . Terus kacau pasta ni dan bila dah masak boleh la ditutup api . Hidang pasta dengan serbuk keju parmesan .

Cukup sedap pasta ni...

Tuesday 17 January 2012

Sambal tumis paru

Hari saya masak lauk sambal paru atau kelempung . Paru ni perlu direbus dulu sampai masak baru senang nak dipotong selain tu nak buang bau paru . Saya masak sambal paru ni tak pedas sangat sebab anak-anak saya pun suka makan sambal ni . Sambal paru ni pun sedap dimakan dengan nasi atau dengan nasi lemak dan sesuai juga dimakan dengan lontong kuah lodeh  .


BAHAN-BAHAN :

500 gm paru lembu
1 biji bawang besar - dipotong nipis-nipis
Air asam jawa secukup rasa
Garam dan gula secukup rasa

BAHAN DIKISAR HALUS :

10 biji cili kering - kalau nak pedas tambah la lagi
5 biji cili merah
4 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
3 cm belacan


* Resepi yang saya bagi ni hanya la panduan , kalau ada sesiapa nak cuba anda boleh ubah suai atau nak tambah bahan-bahan lain ikut pada selera masing-masing .

CARA MEMASAK :

Bersihkan paru dan rebus sehingga masak dan boleh ditos serta ketepikan dulu bagi paru sejuk . Potong paru ni nipis-nipis dan digaul dgn garam serta kunyit . Goreng paru sehingga masak kemudian ditos dan ketepikan dulu .


Panaskan minyak dan tumis semua bahan kisar , masukkan air asam jawa , gula dan biarkan cili masak sehingga terbit minyak dan sambal menjadi harum.

Masukkan  paru yang digoreng tadi dan masukkan bawang besar yang dimayang nipis serta garam/gula secukup rasa . Kacau bagi semua bahan mesra dan bila dah masak boleh la ditutup api dapur.

Monday 16 January 2012

Sambal tumis cili api kicap ikan bilis

Sambal ikan bilis yang mudah nak dimasak dan sedap..


BAHAN-BAHAN :

2 cawan ikan bilis - dibersih dan digoreng sampai masak atau garing
1 biji bawang besar - dimayang nipis-nipis
1 keping asam keping saiz kecil
Kicap manis Babas secukup rasa
Garam secukup rasa

BAHAN TUMBUK HALUS :

15 biji cili api - kalau pedas boleh dikurang
3 biji bawang merah
1 ulas bawang putih

CARA MEMASAK :

Panaskan minyak dan tumis semua bahan tumbuk serta biarkan sambal menjadi harum . Masukkan asam keping kemudian kacau serta terus boleh dimasukkan bawang besar dan biarkan bawang besar masak layu .

Masukkan ikan bilis goreng , garam secukup rasa dan kacau semua bahan bagi mesra dan masukkan kicap manis dan kacau bagi semua bahan mesra , bila dah masak boleh la ditutup api dapur.


Jemput makan sambal kicap cili api ikan bilis ni...

Sunday 15 January 2012

IKAN TENGGIRI MASAK KICAP BEREMPAH

Ikan tenggiri adalah antara ikan kegemaran kami sekeluarga lebih-lebih lagi suami saya , selalunya kalau beli isi ikan tenggiri saya akan masak gulai cili api atau kari bersama dengan kepala ikan tenggiri dan kadang-kadang saya masak kicap berempah macam dalam n3 pagi ni . 


BAHAN-BAHAN:

4-5 keping isi ikan tenggiri - sebesar tapak tangan
1 biji bawang besar - dipotong membulat
2 biji buah tomato - dipotong empat
10 biji cili api
Sedikit daun sup
Air asam jawa secukupnya
Kicap secukup rasa
Garam dan gula secukup rasa


BAHAN-BAHAN DIKISAR :


3 biji cili kering - direndam dlm air panas sehingga kembang
5 biji bawang merah - yg besar
2 ulas bawang putih
2 cm halia

BAHAN-BAHAN REMPAH :

1 sudu kecil lada hitam
1 sudu kecil jintan manis - yang halus
1 sudu kecil biji ketumbar

* Semua rempah ni digoreng tanpa minyak sehingga harum , guna api dapur sederhana besar . Tumbuk atau kisar rempah ni sehingga halus .


CARA MEMASAK :
* Ikan tenggiri dibersih dan digaul dengan garam dan kunyit . Panaskan minyak secukupnya untuk teknik deep fry dan goreng ikan sehingga garing , gunakan api sederhana supaya ikan tidak hangit.

* Panaskan minyak secukupnya dan tumis semua bahan kisar dan semua rempah yang ditumbuk serta biar masak hingga terbit bau wangi . Masukkan bawang besar goreng sekejap bagi bawang layu dan kemudian masukkan cili api , air asam jawa secukupnya dan terus kacau kuah .


* Masukkan semua ikan tenggiri , buah tomato serta kicap dan terus kacau semua bahan-bahan bagi rata , racik halus daun sup dan ditabur atas ikan dan digaul rata . Rasa kuah jika ada bahan yang kurang boleh ditambah . Bila dah masak boleh la ditutup api dapur .


- Semua bahan-bahan yang diguna ni boleh ditambah atau dikurangkan mengikut selera masing-masing . Kalau suka pedas cili api boleh dibelah 2 .

Saturday 14 January 2012

SARAPAN PAGI NI - PASTA LINGUINE

Pagi ni saya masak pasta linguine yang digoreng dengan tomato kering/semi dried tomato yang saya beli di kedai Harrod masa jalan-jalan ke KLCC bulan sudah . Dah lama saya tak ke KLCC so masa pusing-pusing terjumpa la kedai Harrod yang terkenal di kotaraya London itu . Tak dapat ke Harrod di London dapat masuk cawangan yang ada di Malaysia ni pun jadi la kan .So macam biasa saya google la cari resepi pasta guna tomato kering ni dan ni la hasilnya pasta fetucinni goreng , alhamdulillah sedap buah tomato kering ni ada rasa yang tersendiri la...

Sedap dimakan bila ditabur keju parmesan..lemak manis masam...

BAHAN-BAHAN :

1 peket pasta linguini
130 grm tomato kering
1 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
Daging ayam cincang
Sedikit kiub stok ayam
Serbuk kering daun basil secukupnya
Serbuk kering daun oregano secukupnya
Serbuk lada hitam secukupnya
Garam dan gula secukup rasa
Segenggam daun pasley
Keju parmesan - ditabur atas pasta bila nak makan

CARA MEMASAK :

Kupas semua bawang dan dikisar halus kemudian kisar semua tomato kering . Rebus pasta sampai empuk dan ditos kemudian ketepikan .

Panaskan sedikit minyak dan tumis bawang , kacau sampai terbit bau wangi . Masukkan ayam cincang dan kacau sehingga masak kemudian boleh la dimasukkan tomato kering , serbuk herba oregano/basil dan terus kacau .


Masukkan semua cendawan dan kacau sehingga cendawan masak . Boleh dimasukkan semua semua pasta , serbuk lada hitam , kiub ayam serta garam/gula secukup rasa . Racik halus daun pasley dan ditabur dalam pasta dan kacau semua bahan dan bila pasta dah masak boleh la ditutup api.




Ini la rupa tomato kering bahan yang selalu diguna dalam masakan masyarakat Eropah terutamanya di negara Italy . Dulu saya pun tak tau apa kegunaan buah tomato kering tapi saya ni memang suka membaca dan masuk banyak blog masak antarabangsa . Bila dah baca terus timbul minat nak cuba sendiri guna bahan-bahan yang agak asing sebelum ni alhamdulillah sedap..

Bahan-bahan asas dalam resepi ni..


SELAMAT CUTI HUJUNG MINGGU..

Friday 13 January 2012

SEDAP DAN MANISNYA TRIFLE

Sedapnyaaa...trifle ni...
Semua rasa ada manis , lemak berkrim dan masam ..
Begitu enak makan sekali pasti nak tambah lagi..

Bila buat triffle ni saya suka guna buah-buahan lembut dan masam manis macam peach dalam tin atau pun buah mangga fresh , buah laici dlm tin , fruit coctail atau buah kiwi yang masak ranum . Jika nak lagi sedap masa nak makan boleh ditambah  dengan whipping cream mmmm bertambah berlemak yum yum.. 

Selalu saya buat trifle dalam mangkuk kaca besar tapi kali ni saya guna gelas saiz sedang . Senang nak makan ambil je satu gelas makan la sampai habis . Cantik la pula bila dah disusun berlapis-lapis macam ni kan . Paling bawah sekali tu ialah kek swiss roll perisa vanilla kemudian sos castard dan lapisan buah pic/buah anggur/buah kiwi dan paling atas kristal jelly . Bila nak makan baru la diletak whipping cream....walllaaaaaa...sedapnyaaa...

BAHAN-BAHAN :

1  biji kek swiss roll perisa vanilla atau butter cake
1  tin buah peach
1 tin lychee atau nenas atau buah mangga atau kiwi - nak guna semua pun boleh..
1  kotak jelly crystal 

RESEPI UNTUK CASTARD :

1 tin susu sejat Ideal milk
1  tin air buah pic dalam tin
4-5  sudu besar tepung kastard
Gula secukupnya - ikut selera sendiri
1/2 sudu kecil garam

CARA MEMASAK CASTARD : 


Campur semua bahan dalam periuk dan kacau dulu bagi tepung castard larut kemudian baru nyalakan api dapur dan terus kacau sampai kuah castard masak serta menjadi pekat dan berkilat . Rasa manis castard ni jika kurang boleh ditambah gula lagi . Terus  kacau perlahan-lahan castard dan boleh la ditutup api dapur dan bila dah suam sikit baru dituang ke atas kek yang dah disusun dalam mangkuk yang sesuai.

* Kuah castard ni mesti di kacau masa proses memasaknya kalau tak kacau nanti kuah akan jadi berketul-ketul . jika nak sos ni lebih pekat tambah lagi tepung castard . Saya tambah sedikit garam untuk bangkitkan rasa lemak manis .

CARA NAK SUSUN ATUR TRIFFLE NI :

1. Potong kek swiss roll sederhana tebal dalam 2-3 cm ketebalannya , lepas tu susun kek dalam mangkuk yang sesuai , pastikan semua pemukaan mangkuk ditutup dengan kek . Jangan bagi ada lubang di antara susunan kek supaya tidak bocor . Bila sos castard ni dituang cantik saja diatas lapisan kek tak tembus ke lapisan bawah kek .

2. Tuangkan sos castard yang dah dimasak tadi secara perlahan-lahan sampai menutupi lapisan kek tadi dan biar sampai sos castard sejuk . Ambil semua buah dalam tin yang sudah ditos awal tadi dan susun diatas sos castard tadi .

3. Bancuh jelly crsytal mengikut arahan yang diberi pada kotak pembungkus dan masak sehingga jelly kristal masak larut . Dengan menggunakan senduk ceduk jelly ini dan tuang ke atas buah-buahan tadi secara perlahan-lahan sampai habis jelly ini.  Biarkan jelly sejuk dan menjadi keras dan boleh la dimasukkan triffle ni ke dalam peti sejuk dan enak dimakan bila sejuk . Triffle ni sedap dimakan bersama whipping cream..

Barisan gelas trifle sedia untuk dimakan...

p/s . Masa sesi shooting cuaca agak mendung nak hujan so gambar macam gelap sikit la tapi ok lagi la kan , amatur ambil gambar guna camera digital biasa saja hihihi..

Thursday 12 January 2012

DAH DAPAT la....

Banyak kali ke kedai Daiso tapi selalu lupa nak beli botol buat kuih jala ni sebabnya bila dah jalan-jalan masuk kedai tu kedai ni dan tengok macam-macam barang yang menarik terus boleh lupa plan asal nak beli botol roti jala ni . Malam Isnin lepas lepas makan di restoran kat Ikea saya sempat ke kedai Daiso di The Curve dan beli botol kuih jala ni . Bila dah masuk kedai Daiso tu mula la terbekenan barang itu ni macam-macam acuan dan cutter untuk cookies yang dijual . Pilih punya pilih saya beli mana yang perlu saja so saya beli cookies cutter bentuk love dan anak-anak pula nak bekas aiskrim so lepas ni boleh la buat aiskrim sendiri...teringat pula masa kecil dulu mak saya pun rajin buat aiskrim guna acuan yang macam saya beli di Daiso ni . Mak saya rajin buat aiskrim macam-macam perisa dan selalu saja ada dalam peti ais sebab saya suka makan aiskrim ni mmmm kenangan lama mengusik jiwa...

Botol kuih jala , tak sabar nak cuba guna ni hihi..


Pilih punya pilih saya beli yang ni je cukup la..


Last week saya sempat ke Wilton kat Kota Damansara mmmmm banyaknya barang yang saya nak beli tapi saya pilih mana yang perlu saja so saya beli cookies cutter yang saiz besar dan macam-macam bentuk ni cute kan lepas ni semua cookies yang saya buat saiz besar-besar hihi...